Isteriku NurJannah…(tragis..)

Isteriku Nur-Jannah

Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini terasa
lumpuh untuk menanggung beban yang teramat
berat. Tak mampu lagi dipikul oleh bahuku, apatah
lagi di usia yang telah agak banyak ini. Kalaulah
aku tahu beginilah hatinya, sumpah aku tidak
lakukan semua ini. Dia tetap berwajah tenang.
Tidak kelihatan walau secalit resah di kelopak
mata, di pipinya malah bibirnya. Segalanya masih
sama seperti dulu. Aku leka. Leka dengan setiap
kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku tidak
pernah dipersoalkan.

Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan
keizinan, aku lihat ada titisan air mata gugur di
pipinya. Itulah kali terakhir aku lihat dia menangis.
Dia tidak menuntut apa-apa dariku untuk dirinya
selain dari mengingati aku tentang nafkah anak-
anak kami yang seramai lima orang. Dia
meninggalkan perkarangan mahkamah, setelah
sedikit sesi kaunseling selesai. Aku mempelawa
untuk menghantar pulang. Dalam senyuman yang
kukira dibuat-buat, dia menolak dengan alasan,
mulai dari hari ini dia akan belajar untuk mengurus
hidupnya sendiri.

Aku tidak ambil pusing dengan perkara itu. Aku
meneruskan niatku mengahwini Normi. Dia tidak
sedikit pun membentak bila aku memintanya
menggosok sepasang baju Melayu, pakaian
pengantinku. Cuma di kala itu aku kehilangan
senyuman manja daripadanya. Dia terus berwajah
tenang dan syahdu. Sebelum aku melangkah
pergi, dia masih seperti selalunya, bersalaman dan
mencium tanganku sambil berpesan jaga diri baik-
baik. Aku mengahwini Normi setelah setahun
menjalin persahabatan. Aku sendiri kurang pasti
mengapa aku tertarik dengan Normi. Cuma yang
aku sedar, aku kasihankan kepada anaknya yang
sedari awal memanggil aku ayah.
Mungkin juga kerana Normi cantik. Perwatakannya
yang manja membuatkan ramai lelaki tergoda. Dan
akulah yang paling kalah dengan kemanjaannya.

Walau apa pun alasan, antara aku dan Normi
memang ditakdirkan ada jodoh, kerana itu kami
berkahwin. Walau ibu dan ayahku malah saudara
mara menentang hebat kemahuanku. Apa
kurangnya Nurjannah, soal mereka. Memang aku
akui, tiada cacat celanya Nurjannah. Dia memiliki
semuanya, cantik dan seorang perempuan yang
lengkap memenuhi ciri-ciri seorang isteri, ibu dan
pengasuh anak-anak yang baik. Dia juga pernah
menjadi rebutan pemuda sekampung. Di antara
mereka, aku orang yang paling bertuah menjadi
pilihan Nurjannah. Tuah itu aku sambut dengan
penuh rasa kesyukuran. Dia melahirkan zuriatku
seramai lima orang. Dia tidak pernah
mengeluh keletihan melayan kerenah anak-anak
walau aku kurang membantu. Keperluanku juga
dijaga sepenuhnya. Tiada apa yang dimusykilkan
di hati ini terhadapnya. Segalanya cukup
sempurna. Pendidikan agama untuk anak-anakku
juga diberikan oleh Nurjannah.

Semua anak-anakku khatam Al Quran di usia
sepuluh tahun. Semua itu Nurjannah yang ajarkan.
Anak-anakku tahu akan tanggungjawab
mengerjakan sembahyang seawal usia enam
tahun. Itu juga Nurjannah, isteriku juga yang
ajarkan. Bukan sekadar anak-anak malah aku
sendiri pun diuruskan oleh Nurjannah.

Ketika aku sedang mandi, pakaian kerjaku dari
baju hinggalah ke stoking Nurjannah sudah
aturkan. Aku cuma capai sahaja. Ketika aku
berwuduk, Nurjannah telah siap membentang
sejadah sembahyang. Setiap kali aku pulang
kerja, sekurang-kurangnya, segelas minuman
telah tersedia di
ruang rehat. Nurjannah tidak pernah menyusahkan
aku walau menghantarnya ke pasar. Katanya, dia
boleh pergi sendiri. Selama sebelas tahun hidup
bersamanya, Nurjannah faham benar seleraku.
Selama sebelas tahun itu juga seingatku tidak
pernah sekalipun Nurjannah menyakiti hatiku.

Menjelang hari-hari perayaan, ketika rakan-rakan
sepejabatku mengeluh kerana isteri di rumah
minta menukar langsir baru, Nurjannah isteriku di
rumah terbongkok-bongkok mencuci langsir lama.
Bila kami diberi bonus tahunan oleh majikan,
rakan-rakanku resah kerana isteri masing-masing
turut meminta imbuhan untuk membeli seutas dua
barang kemas. Tetapi isteriku Nurjannah tidak
pernah meminta semua itu. Nurjannah menasihati
aku agar menyimpan wang lebihan. Untuk
kegunaan masa depan katanya. Akhirnya aku
menggunakan wang simpanan tersebut untuk
perkahwinanku dengan Normi, madu Nurjannah.
Setelah berkahwin dengan Normi, barulah aku
merasai segala masalah seperti yang dihadapi
teman-teman sepejabatku. Apa nak buat, terlajak
perahu boleh diundur, terlajak perbuatan sepahit
mana sekalipun, terpaksalah ditelan jua. Apatah
lagi aku dan Normi telah dikurniakan seorang
cahaya mata.

Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku
memang jarang-jarang sekali pulang ke rumah
Nurjannah. Kadang-kadang seminggu sekali,
kadang-kadang sebulan sekali. Itupun untuk
memberi wang perbelanjaan anak-anak. Nurjannah
tetap dengan sifat sabarnya. Walau aku
memperlakukannya sedemikian, dia tidak pernah
marah-marah apalagi mengamuk. Setiap kali
kepulanganku, dia sambut tanpa secebis riak
kemarahan. Bersalam dan mencium tanganku. Dia
tetap menyediakan makanan kegemaranku. Cuma
yang amat aku terasa, aku ke! hilangan senyuman
mesranya. Dia pernah meminta izinku membantu
abangnya yang berniaga di kedai
runcit berhampiran dengan rumah kami. Aku
sedar, mungkin perbelanjaan harian dariku tidak
mencukupi, tetapi aku buat-buat tidak tahu.
Lagipun Nurjannah tidak pernah menyebutnya.
Aku lihat tubuhnya kurus sedikit. Aku bertanya
padanya apakah dia sakit atau ada apa-apa
masalah. Namun dia hanya menggeleng kepala.

Aku tidak pasti reaksi anak-anak terhadapku
setelah aku berkahwin lain. Kelima-lima anakku
dengan Nurjannah tidak pernah menunjukkan
tanda-tanda membantah atau marah. Cuma antara
kami kurang mesra, mungkin kerana sudah jarang
berjumpa. Alhamdulillah aku punyai anak-anak
sebaik Nurjannah.

Kelima-lima anakku sudah berjaya. Semuanya
sudah menjejaki menara gading. Terasakan begitu
cepat masa berlalu. Anak-anakku sudah
menjangkau dewasa. Fahmi anakku yang sulung
menjawat jawatan doktor, Fariza menjadi
pensyarah, Fakhrul pula pegawai di jabatan
kerajaan, Farihin seorang guru dan Farina telah
tamat dan majlis konvokesyennya akan diadakan
dua hari lagi. Aku pulang hari ini, di atas
permintaan Farina agar aku dan ibunya hadir di
majlis bersejarah baginya. Seingat aku telah dua
bulan aku tidak menjengah Nurjannah. Namun
kepulanganku tetap disambut baik oleh Nurjannah.
Bersalam dan mencium tanganku seperti dulu-
dulu. Dia tidak pernah menunjukkan riak kurang
senang padaku. Walhal sudah banyak perkara
yang telah aku lukai hatinya, namun sukar
untuknya menunjukkan rasa memberontak.
Kesabarannya banyak mengajarku apa erti
kesetiaan seorang suami. Aku akui bukan seorang
suami yang adil. Adil dalam
mencurahkan kasih sayang. Mungkin juga
pengaruh isteri mudaku, namun aku tidak
menyalahinya. Keterlanjuranku mengahwini
memberi satu perbandingan yang nyata antara
keduanya.

Namun kesalahan masih berpihak padaku seolah-
olah tidak mampu untuk berlaku adil.! Hari ini
Nurjannah memasak lauk kegemaranku, udang
masak lemak cili padi. Selera sungguh aku
makan. Suasana di meja makan sunyi sepi. Fariza
yang juga makan bersama kami, aku lihat asyik
menyuap nasi ke mulut. Nurjannah membisu
seribu bahasa dan aku sendiri bagai kehilangan
cerita. Sebenarnya jauh di sudut hati, aku terlalu
lama rindukan gelak tawa Nurjannah. Entah
kenapa hari ini aku kehilangan punca mencari
kemesraannya. Sesudah makan malam aku duduk-
duduk di ruang tamu di samping Fariza. Nurjannah
menghampiriku sambil menghulur satu sampul
surat berwarna
jingga. Aku masih ingat, itulah sampul surat kad
undangan perkahwinanku dengan Normi. Aku
bagaikan tersentak. Borang permohonan cerai
yang telah lengkap diisi hampir terlepas dari
tanganku. Aku tergamam, terkedu. Hilang sudah
segala kekuatan yang ada. Aku cuba menolak
rasa sangsi.

Adakah aku berdepan dengan realiti atau
sebaliknya. Aku lihat reaksi Nurjannah, tenang dan
bersahaja. Ada sesuatu yang ingin diutarakannya.
Aku menunggu dengan sabar, mahu penjelasan
yang wajar darinya. “Bang, lapan belas tahun yang
lalu, Jannah dengan rela hati menandatangani
borang permohonan poligami, Jannah harap abang
juga boleh melakukannya sekarang,” pintanya
dengan suara yang aku rasakan bagai belati
menghiris hati. Rasanya ingin gugur air mata
lelakiku.

Namun kutahan. Adakah ini balasan untuk
pengorbanan yang telah kau lakukan. Kukira
langkah mu tidak akan terlanjur sejauh itu.
Nurjannah, barang kali beginilah deritanya hatimu
dulu, ketika mahu selepas pergi orang yang
dikasihi.. ‘Jannah tak mahu abang terus dihumban
dosa kerana
sememangnya abang tidak pernah berlaku adil.
Selama ini pun Jannah hanya tak mahu kehidupan
anak-anak kita terganggu lantaran sikap kita.
Jannah rasa pengorbanan Jannah sudah sampai
ke penghujungnya. Lagi pun kesabaran Jannah
sudah tinggal sia-sia. Jannah tidak mahu jadi isteri
derhaka apabila kesabaran sudah tiada lagi. Anak-
anak kita pun sudah dewasa,
mereka sudah oleh hidup sendiri,” Nurjannah
bersuara lagi tanpa sebarang riak api kebencian
kepadaku.

“Kami adik beradik telah lama kumpul wang untuk
hantar ibu tunaikan fardhu haji tahun ini,” sambung
Fariza. Aku merenung mata Fariza dalam-dalam.
Lama. Sehinggalah Fariza bersuara. “Kami bukan
tak mahu hantar ayah ke Mekah, tapi kalau ayah
pergi nanti, siapa nak jaga mak cik normi, kan
ayah tak pernah tinggal mak cik Normi sorang-
sorang.” “Jannah, abang tak mahu kehilangan
Jannah, biar abang tinggalkan Normi,” pintasku
cuba melerai! kekusutan yang membelit
diri. “Sejauh mana sekali pun abang tinggalkan
Normi, hati Jannah tetap terluka. Tanda tangan
borang tu bang,” pinta Nurjannah sungguh-
sungguh.

Aku rasakan itulah dentuman petir yang paling
kuat pernah memanahi pendengaranku dan beban
yang teramat sarat yang menghempap bahuku.
Tiba-tiba aku terkenangkan sejadah yang sering
dihampar oleh Nurjannah isteriku. Dengan langkah
yang longlai aku mengambil wuduk, Nurjannah
hanya memerhati dari jauh. Di dalam bilik
sembahyang aku mencari-cari sejadah yang
terbentang. Tiada. Lalu aku jatuh terduduk. …

5 Comments (+add yours?)

  1. ~N.A.I.M~
    Oct 10, 2010 @ 06:51:01

    Hayatilah wahai insan bernama lelaki..bersyukurlah……

    Reply

  2. missfiza
    Oct 14, 2010 @ 18:34:56

    hmmm..xde smbgn lg ke??hehe~

    Reply

  3. ~N.A.I.M~
    Oct 16, 2010 @ 08:22:58

    YUp tepat sekali..kadang2 benda yang kita suka tu tak semestinya baik tuk kita….bear in mind…^^

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: